Friday, November 06, 2009

Sanah Helwah ke-24; Semakin Aku Menghampiri Hari Itu...

Terima kasih yang tidak terhingga buat semua yang sudi mengucapkan 'Selamat Hari Lahir' kepada saya. Terima kasih juga pada yang titipkan ucapan itu dengan kalungan doa. Semoga Allah SWT mengkabulkan doa-doa kalian. Kepada yang lupa tarikh lahir saya, saya tidak berkecil hati. Tidak sama sekali. Dan saya tidak menyangka masih ada yang ingat tarikh kali pertama saya menjengah ke bumi ini.

6 November 1985 pada jam 4.07pagi, saya disambut doktor. Jerih payah Mak melahirkan saya. Saya bertanya kepada Mak kenapa saya dilahirkan di Hospital Bersalin Pulau Pinang sedangkan rumah kami di Kuala Muda, Penaga. Hospital yang terdekat adalah Hospital Butterworth atau Hospital Sungai Petani. Seingat saya soalan itu saya lontarkan kepada Mak bila saya baca sijil kelahiran adik saya. Zaida dilahirkan di Hospital Butterworth yang pada ketika itu kami menetap di kuaters berhadapan dengan hospital tersebut.

Maka jawab Mak pada soalan saya itu, "Mak tak berapa sihat masa mengandung kat wani. Tu yang kena pi ke sana." Saya jawab, "Ooo..." dan terdiam. Itu sahaja jawapan saya. Tapi di dalam hati saya berkata, "Kesian kat Mak. Susahnya Mak mengandung kat aku..." Sama juga dengan Abang saya. Beliau dilahirkan di Hospital Bukit Mertajam yang kedudukannya lebih daripada 30km dari rumah kami di Kuala Muda kerana Mak diserang darah tinggi ketika hamilkan Abang.

Hmm.. Hari Ulangtahun Kelahiran saya pada tahun ini terasa benar kelainannya. Mungkin kerana sudah berada di semester akhir ijazah pertama saya. Mungkin kerana sudah berada di sekeliling sahabat-sahabat yang sudah konvo dan bekerja. Mungkin kerana sudah berada dalam lingkungan sahabat-sahabat yang sudah berkahwin, sudah 'beranak-pinak', sudah hamil (ketika konvo), sedang merancang perkahwinan, sedang menghitung hari sambil melengkapkan persiapan perkahwinan, dan bermacam-macam situasi orang-orang dewasa. Mungkin kerana itu saya merasa diri saya sudah berada di alam dewasa, bukan lagi belia yang boleh dimaafkan dan ditolak ansur jika terbuat salah atau sengaja buat-buat salah.

Hari ini saya tidak gembira, dan tidak pula riang bersorak sorai, tapi tidak pula muram dan berwajah duka. Saya dirundung rasa sayu. Dihinggap rasa terharu. Saya dibungkam rasa syahdu. Ini semua kerana memikirkan sudah 24 tahun saya menghirup dan menghela nafas di muka bumi Allah SWT ini, berkat sifat Rahman dan Rahimnya Allah dan sifat kasih dan sayang serta cinta tanpa syarat daripada kedua tubuh yang asalnya saya; yakni Mak dan Abah Tercinta. Sudah 24 tahun saya membesar dengan duit gaji titik peluh Abah dan Mak. Untuk hari-hari berikutnya, saya masih perlukan duit Mak dan Abah untuk teruskan hidup. Bila saya akan bekerja? Perlukah untuk Mak dan Abah tunggu sebegitu lama? Tapi Abah dan Mak pasti jawab, "Itu dah tanggungjawab Abah dan Mak." Oh. Terima kasih, Abah dan Mak. Terima kasih, Allah SWT yang meniupkan rasa cinta ini kepada kami. Ya Allah, teruslah sayangi Mak dan Abah wani.

Saya masih ingat lagi ketika hari lahir saya yang ke-8, saya menunggu di muka pintu rumah, di atas kusyen rotan kami di ruang tamu. Menunggu Abah dan Mak pulang dari pusat membeli belah. Saya menunggu hadiah birthday saya. Ketika itu saya sangat sedih sebab tak pernah dapat hadiah birthday macam kawan-kawan saya yang lain. Jadi, saya minta juga pada Mak dan Abah. Setelah daun pintu dibuka, saya meminta melalui riak wajah mengharap. Mak hulurkan pensel kalor SWAN 24 batang. Saya gembira, tapi sedih juga kerana kualiti warna SWAN tidak sebaik kualiti LUNA. Tapi saya dapat juga hadiah dan pada tahun itu juga Mak Abah belikan kek span pandan. Kata Mak untuk raikan wani dan Zaida. Adik bawah saya lahir pada 18 Nov 1989. Jadi, kami sambut bersama. Ketika itu saya masih tidak faham kenapa Mak dan Abah tak buat sambutan hari jadi saya macam anak-anak jiran kami yang lain. Tapi saya tidak suarakan pun. Bila sudah besar, baru saya rasa menyesal dan sedih sebab banyak meminta pada Mak Abah. Sepatutnya hari lahir kita adalah masa untuk kita berterima kasih kepada kedua-dua orang tua kita kerana kita asalnya daripada mereka. Kita datang daripada mereka. Kita ini membesar kerana susah payah mereka. Mereka risau jika perut kita kosong. Tidak mahu kita lapar. Hari jadi kita adalah hari milik mereka untuk diraikan, bukan kita. Maafkan wani ya Mak. Maafkan akak ya Abah.

Hari lahir juga adalah hari terbaik untuk saya muhasabah diri, walau sepatutnya muhasabah itu setiap hari. Mengira setahun demi setahun usia berlalu tanpa banyak pun ibadah yang saya lakukan sangat menginsafkan. 24 tahun. Apa yang telah saya lakukan? Saya sudah tidak lama lagi akan hidup di bumi ini. Walaupun tidak tahu sampai bila usia saya berakhir, tapi saya rasakan masa itu sudah terlalu suntuk sedangkan saya masih belum lakukan apa-apa bakti di dunia ini. Saya belum tanam apa-apa lagi di ladang dunia ini sebagai tanaman yang boleh saya tuai di akhirat nanti. Sempatkah saya? Setahun lagi masa untuk kematian saya semakin hampir. Bertambah setahun lagi usia saya semakin singkat. Apa yang saya ada? Saya tidak tahu. Saya tidak ada jawapannya.

Terima kasih kepada semua. Terima kasih kepada Nazirah a.k.a. Jie di www.sufigirl.blogspot.com atas entry khas untuk hari lahir saya. Terima kasih yang tidak terhingga, dik. Akak sayang Jie juga.

Semua ucapan daripada sahabat-sahabat saya hargai terutamanya ucapan daripada Ili Raihana yang mengandung hikmah dan muhasabah.
AlhamduliLLAH, masih lagi diberi kesempatan untuk bernafas di bumiNya. Moga-moga digunakan kesempatan masa & kenikmatan sihat untuk terus berjuang dijalanNya, agar penghujung umur akak nanti syahid ditemui, syurga Firdausi didiami. Ameen. Semoga keikhlasan, ketabahan & kebahagiaan sentiasa bersama dalam setiap denyutan nadi dan derapan langkah, agar cinta & redha Ilahi bersatu menjadi milik akak. Ameen. Sayang kak wani fiLLAH!

Thursday, October 01, 2009

Makna Ramadhan 1430; 1

"Awak dah tak belajar ke?"

"Saya dah berhenti belajar. Kerja sepenuh masa di Carefour sebagai casher dan salesgirl."

"Kenapa berhenti? Awak baru 16 tahun."

"Saya berkerja untuk tanggung keluarga. Saya ambil keputusan berhenti untuk bagi peluang abang saya sambung belajar. Sekarang dia di kolej di KL ambil bidang IT. Biarlah saya yang bekerja. Adik saya pun baru saja masuk sekolah menengah."

Dialog yang memberi makna dalam hidup saya. Ini adalah satu bentuk kehidupan yang agak asing pada pengalaman dan pengetahuan saya. Selalunya saya mendengar anak sulung atau anak lelaki yang akan berhenti belajar dan bekerja untuk tanggung saudara perempuannya belajar. Tapi sebaliknya yang berlaku pada keluarga ini.

Ibu kepada remaja kecil molek ini mengidap barah dan susah untuk bekerja. Walaupun hanya tiga beradik, namun kehidupan mereka sangat payah tanpa kehadiran seorang ayah. Mereka saya temui secara tidak dirancang dalam program Sumbangan kepada Ibu Tunggal anjuran Nisa' Bandar Tun Razak.

Ibu tunggal ini sangat lembut hati. Beliau mengakui kesusahan hidup dan tidak sombong dalam menerima bantuan orang. Huluran sedikit barangan keperluan dapur dan wang diterima dengan deraian air mata dan terima kasih yang tidak terhingga. Saya masih terbayang-bayang wajah gembira dan terharu beliau. Melalui air matanya, terpamer sebuah kesusahan hidup yang diharunginya. Kata terima kasih sudah tidak mampu lagi diucapkan kepada kami semua kerana disekat oleh kesedihan. Namun, sinar matanya jelas menyampaikan kesyukuran itu.

Saya bersyukur dipilih Allah SWT melihat dan merasai kesedihan hidup mereka. Kehidupan yang memberi bukan satu makna dalam kehidupan saya tetapi berjuta-juta makna bila dilihat dan direnung dari pelbagai aspek. Saya ingin berkongsi rasa dengan pembaca semua dalam entry kali ini. Ini adalah salah satu peristiwa yang sangat memberi makna pada diri saya dalam Ramadhan tahun ini.

Alhamdulillah. Allah, limpahkanlah rezeki kepada keluarga ini. Kukuhkanlah aqidah dan iman mereka pada-Mu, ya Allah. Jangan golongkan mereka dalam golongan mereka yang mencari rezeki melalui jalan yang salah. Limpahkan rahmat-Mu ke atas mereka.

Ameen, Ya Allah.


Monday, August 17, 2009

Ramadan Kareem



SALAM RAMADHAN KAREEM BUAT SEMUA TETAMUKU YANG DIMULIAKAN.

Friday, July 31, 2009

Tirai Titisan Darah Mujahid

Bismillahirrahmanirrahim. Sollu ‘alannabiy.

Kota Salahuddin al-Ayyubi di Iskandariah yang pernah kujejaki.

Pemegang watak Salahuddin al-Ayyubi dalam Kingdom of Heaven.

Sultan Muhammad Al-Fateh yang menakluk Konstantinopel pada usia 24 tahun (usia saya ketika ini, tapi sumbangan pada Islam?).

Baru usai menonton miniclip preview dan ulasan Kingdom of Heaven oleh Us Muhammad Syaari bin Ab. Rahman yang dihasilkan pada Mei 2005. Sekali lagi jiwa terkesan oleh keikhlasan tokoh Salahuddin Al-Ayyubi berjuang atas nama Allah SWT. Ketika cuti lepas, saya berkesempatan menyorot sisi perjuangan Sultan Muhammad Al-Fateh membebaskan Konstantinopel. Kisah-kisah ini berjaya mengheret hati saya ke sukma kesayuan dek kegagalan diri ini mempertahankan kemenangan dan membayar titis darah dan peluh kedua-dua mujahideen ini berjuang membenarkan sabda RasulaLlah SAW. Diri ini rasa bersalah seandainya tidak terlibat dalam mengembalikan syiar ke puncaknya.

Akhlaq dan teladan Muslim sejati yang ditunjukkan oleh kedua-dua tokoh ini mengkagumkan seluruh manusia bahkan musuh. Balian (kesatria tentera Salib II yang tewas kepada Salahuddin Al-Ayyubi) menolak berkhidmat kepada Raja England untuk angkatan tentera Salib ke-3 kerana terhutang kebaikan dengan Salahuddin Al-Ayyubi. Bagi Sultan Muhammad Al-Fateh pula, janji RasulaLlah SAW bahawa kota Konstantinopel akan ditawan oleh raja yang baik, tentera yang baik, dan rakyat yang baik meninggalkan kesan kekaguman yang luar biasa kepada bukan Islam di kota tersebut sehingga mereka sanggup berada di bawah pemerintahan beliau.

Semoga kedua-dua kisah ini membentuk hati, visi, dan ruh saya dalam membawa Islam yang suci ini menerajui dunia sekadar kemampuan yang Allah SWT kurniakan.

Semoga sifat zuhud Salahuddin Al-Ayyubi yang hanya meninggalkan 1 dinar dan 47 dirham sahaja selepas menghembuskan nafas yang terakhir menjadi contoh kepada saya dan kita semua untuk bersyukur dengan apa yang ada dan menginfakkan segalanya untuk perjuangan Islam yang benar.

Semoga konsistensi Sultan Muhammad Al-Fateh beramal munajat kepada Allah terutamanya ketika dinihari, bertahajjud berdoa kepada Allah SWT menjadi motivasi kepada saya dan anda semua.

Islam masih mencari Salahuddin Al-Ayyubi yang kedua.

Islam masih mencari Sultan Muhammad Al-Fateh yang kedua.

Bilakah mereka akan muncul?

Semoga saya terlibat dalam pembinaan generasi ‘mereka’ yang kedua jika tidak mampu melahirkan ‘mereka’. Semoga terlahirlah ‘mereka’ berkat sekelumit usaha saya ketika hayat saya.


Semester akhirku di Taman Ilmu dan Budi ini kuselak dengan semangat dan ketaqwaan dua Mukmin sejati, Sultan Muhammad Al-fateh dan Salahuddin Al-Ayyubi.

Monday, June 15, 2009

Begini Tuhanku Mengajari Daku

BismiLlahirrahmanirrahim.. Sollu'alannabi...

Tiada kata dapat menggambarkan perasaan sedih dan kecewa. Sedih, kecewa, sesal dan segala rasa yang negatif. Kerana satu itu, tersedu sedan aku keseorangan di kelas HSC LR 6 dua minggu lepas.

Aku, yang bernama Nur Hazwani Hamid ini gagal menjawab kesemua soalan yang tercatat di kertas soalan subjek Advanced Research Methodology. Hanya separuh yang dapat aku habiskan dengan lengkap. Bila Sir kata, "You have another 5 minutes", aku baru menyudahkan soalan yang ke-2. Ada lagi dua soalan dengan 'anak-anaknya' sebanyak 5 setiap satu. Bermakna ada lagi 10 soalan yang belum aku jawab.

Kenapa jadi begitu?
Aku tidak pernah menghadapi situasi begitu. Aku gelabah dan terus menulis lagi jawapan sehinggalah Sir mengira setiap anak muridnya di dalam kelas dan membandingkan dengan bilangan kertas jawapan yang ada di tangannya. Aku mengangkat tangan. Sir datang kepadaku dan berkata, "I will accept your answer sheet?". Muka Sir yang lembut tu aku rasakan bertukar menjadi begitu tegas dan berbaur marah. Aku menjawab dengan perlahan, "I just finishing the 2nd question, Sir." Aku berikan kertas jawapan aku. Bersama dengan semua mata teman sekelas yang memandang aku, aku berjalan laju ke meja Sir di hadapan kelas. Aku nampak Sir tulis 'late submission' siap bergaris di atas kertas jawapan aku. "I'm sorry Sir. I couldn't anwser all. It's too many... Please accept my answer sheet, Sir..." Tapi hanya ayat pertama yang terungkap. Yang selebihnya hanya bergumam di peti suara kerana sendu mengambil alih. Aku terlupa untuk menulis nombor pengenalan pelajarku. Mujur Sir masih beri kesempatan untuk aku menulisnya.

Teman sekelas yang lain keluar menikmati hidangan tengahari dan aku menyuapi hati dengan sedu sedan tangisan. Berseorangan di sudut kelas. Dalam pakaian serba kehitaman pada hari itu sama seperti suramnya jiwa tatkala itu, aku berkabung pada sebuah kegagalan aku menjawab soalan peperiksaan pertengahan semester tersebut.

Aku sesal. Aku kesal. Andai suku daripada kelasku yang mengambil notaku berjaya dalam peperiksaan ini, bagaimanakah aku tuan punya nota boleh gagal? Aku yang mencari buku-buku yang dirujuk oleh Sir di perpustakaan. Teman-teman sekelas mendapatkan sumber rujukan juga daripadaku. Tapi duhai teman-temanku.... lihatlah. Teman kalian ini gagal lebih teruk daripada kalian.

Tidak tahu mengapa terasa begitu lemah diuji dengan situasi itu. Aku hubungi Abah dan menangis semahuku sehingga tidak dapatku luahkan tutur bicara. Dalam beberapa patah perkataan yang terpacul, Abah dapat menangkapnya dan mohonku bersabar. Nasihat Abah, tak mengapa gagal untuk kali ini. Jangan diingat lagi dan tumpukan untuk peperiksaan akhir nanti. Kata Abah lagi, "Kak telefonlah Mak. Cakap dengan Mak."

Aku tenangkan sedikit hati. Sambil azan berkumandang, hati menjadi lebih sayu dan layu. Usai azan, aku menghubungi Mak. Dengar sahaja suara Mak di talian, air mata terhambur lagi. Kata Mak, "Kena tengok bilangan soalan. Kalau banyak, maknanya dia nak jawapan ringkas saja. Bahagi masa betul-betul. Tinggalkan tempat kosong untuk soalan yang kita tak tahu lagi nak jawab masa tu. Jawab soalan lain dulu. Nanti ada masa balik ke soalan yang kita tinggalkan tu. Takpalah. Jangan dok fikir lagilah hal dah lepas. Tumpukan yang akan datang ni. Kalau tak dapat nak buat juga, takpalah, repeatlah. Nak buat macam mana lagi..."

Aku hanya diam dan mengiyakan semua kata-kata Mak. Semua yang Mak katakan tu sejak sekolah lagi telah aku hadam. Tapi kali ini, aku tidak tahu kenapa ia berlaku ke atas aku. Dan Mak begitu redha dengan apa yang bakal berlaku ke atas aku. Mak tahu aku telah berusaha dan memang benar aku kali ini berusaha lebih daripada sebelum-sebelum ni. Aku membaca nota ketika menjaga kaunter di Waqecc. Aku usung ke mana-mana nota tersebut. Tapi pula, aku diuji sebegini.

Terlintas di mindaku tatkala itu kata-kata seorang ustaz, "Jika kita mudahkan seorang hamba Allah, maka Allah akan mudahkan urusan kita." Maka aku sangat seronok dapat memberi teman-teman sekelasku nota dan buku-buku. Tapi aku diuji. Mungkin juga ini adalah tarbiyah daripada Allah. Tarbiyah untuk menguji keikhlasan aku dalam meberi. Tarbiyah untuk menguji adakah kebaikan seumpama ini akan aku teruskan.

ALLAH, sesungguhnya, wani tidak akan protes pada-Mu. Hamba-Mu ini tahu, ia adalah sebuah proses tarbiyah daripada-Mu. Hamba-Mu ini tahu, beginilah Tuhanku mengajari daku.

Pagi tadi, keputusan peperiksaan tersebut diberikan. Seperti telah kuduga. Markahku hanya melepasi kadar separuh lebih sedikit daripada markah penuh. Selayaknya untuk hanya setengah soalan yang aku jawab. Aku tidak mahu membiarkan mata kembali bengkak seperti hari peperiksaan tu. Tangan kugenggam menahan hati agar kuat dan tabah. Jari mencoret angka-angka mengira markah yang mungkin akan aku capai di akhir semester nanti. Nampaknya sangat sukar untukku capai gred terbaik. Tapi aku kena usaha lebih kuat lagi. Aku kena teruskan semangat aku! Aku kena kuat!

Teringat kata-kata sahabat ketika menenangkan aku, "Akak baca tak Salju Sakinah? Akak ingat tak macam mana Sumayyah gagal dan kena mengulang hanya satu madah di Al-Azhar? Akak kena tabah macam Sumayyah. Teladani kekuatan dia. Akhirnya, dia berjaya."

Terima kasih, adikku. Indah hidup bersahabat. Indah hidup berjamaah.

Aku kena tabah. Aku kena tempuhi ujian ini kerana beginilah Tuhanku mengajari daku. Dia tidak menguji daku di luar kemampuanku. Aku perlu terus berusaha!


Jadual peperiksaan akhir sudah pun dikeluarkan. Inilah tarikh-tarikhnya:

24hb Jun 2009 3.00pm Advanced Research Methodology
26hb Jun 2009 3.00pm English for Occupational Purposes

Tuesday, May 26, 2009

Mereka juga Guruku



Apabila setiap kali bertembung dengan seorang sahabat daripada KARISMA ini, maka acap kali itu jugalah hati ini dirundung pelbagai rasa. Rasa sayu, hiba, sedih dan pilu menjengah meliputi seluruh organ hati. Bukan kerana beliau tetapi kerana terkenangkan seorang penghuni teratak hidayah Raudhatus Sakinah.

“Kakak kenal abang (disebut namanya)?” Tanya adik berwajah polos dalam nada sedikit berbisik ketika sahabatnya daripada kumpulan lain sedang melakukan persembahan. Beliau duduk tenang di sisiku.

“Kenal. Macam mana adik kenal dia? Dia selalu datang sinikah?” Responku dengan sedikit perasaan teruja dengan soalannya tadi.

“Ha’a. Abang ni selalu juga datang mengajar kami dan jumpa adik.” Jawabnya dengan sedikit sayu. Mungkin kerana rindu pada hikmahnya tutur kata sahabat saya tersebut dan kata-kata prihatin beliau.

Kami menoleh kembali ke depan melihat sambil tersengih pada persembahan sketsa melakonkan watak gadis-gadis nakal yang cuba mempengaruhi gadis baik untuk menyertai kumpulan mereka. Sambil-sambil itu, hatiku disuntik rasa simpati kepada adik tersebut dan kekaguman kepada sahabatku itu.

Kemudian, lengan baju saya ditarik dengan lembut dan terdegar panggilan mulus, “Kak wani…”. Saya menoleh kembali sambil tersenyum kepada adik berusia 15 tahun itu. “Ya, adik sayang.”

“Nombor telefon kakak sama tak dengan nombor kad pengenalan…?” Nada separuh berbisik dengan mata yang bening membuat hati seorang kakak yang ada dalam diri ini dijentik rasa.

“Adik nak nombor handphone akak ke?”

“Tak. Adik cuma nak tahu nombor telefon akak sama tak dengan tarikh lahir akak. Sebab ada orang pilih nombor telefon yang sama dengan tarikh lahirnya.”

Saya dapat membaca apa sebenarnya yang diinginkan olehnya. Namun, disebabkan sudah peraturan di situ tidak dibenarnya pelawat memberikan nombor telefon, adik tersebut mencuba dengan bentuk soalan yang lain.

Lalu, saya bisikkan kepadanya, “Adik tahukan kakak tak boleh bagi nombor phone akak. Tapi adik ambil alamat rumah dan email akak ye. Bila-bila pulang ke kampung, boleh berziarah ke rumah akak. Akak minta maaf sangat ye dik. Kakak nak bagi, tapi tak boleh.” Dengan wajah yang sedih, beliau mengangguk faham.

Saya biarkan adik itu melayan kesedihannya. Tangan saya menyelak halaman-halaman buku catatan yang saya bawa mencari kalau-kalau ada penanda buku atau apa-apa bahan cetakan yang menarik yang boleh saya titipkan sebagai kenangan buatnya. Alhamdulillah, terjumpa sekeping gambar yang bertulis kata-kata hikmah tanda kenangan daripada IMIU, PJ ketika lawatan saya ke sana. Lalu, di belakangnya saya coretkan alamat rumah dan email, juga kata-kata semangat untuknya. Sekuntum mawar juga saya lukiskan penyeri coretan tersebut. Kartun Muslimah tersenyum tidak saya lupakan. Moga-moga terubat hatinya daripada kesedihan itu. Dan adik berwajah polos itu nyata tersenyum manis menerimanya.

Semuanya kebetulan. Kebetulan saya ditempatkan bersamanya dalam aktiviti berkumpulan. Kebetulan kami duduk bersebelahan. Kebetulan kampungnya dalam kawasan parlimen yang sama dengan saya. Kebetulan nama panggilannya sama dengan nama panggilan adik bongsu saya. Kebetulan juga usianya sebaya dengan adik bongsu saya. Kebetulan juga ‘abang’ yang ditanya tadi adalah sahabat yang saya kenali. Segalanya kebetulan. Dan kebetulan itulah membuatkan saya rindukannya bila saya rindukan adik bongsu saya yang cergas otaknya itu.

Saya belajar daripada semua penghuni di situ hasil lawatan pada hari itu. Oleh itu, mereka juga tersenarai dalam senarai ‘guru-guruku’ dalam doa saya. Saya belajar erti sebuah kehidupan dan erti taubat dan pengampunan-Nya. Bukankah walau satu ilmu atau satu huruf yang dapat kita peroleh daripada seseorang itu, dia sudah dikira sebagai guru kita?

Di sana, saya rasa ketenangan melihat wajah-wajah bersih mereka. Kesilapan yang mereka lakukan adalah satu titik tolak untuk merasai betapa nikmatnya sebuah taubat dan keimanan. Mereka bahkan bisa menjadi lebih baik daripada Muslim yang berterusan melakukan ibadah hanya sebagai sebuah ritual, kerana mereka melalukan ibadah atas rasa kehambaan yang sebenar-benarnya.



“..Wahai anak Adam, tidak akan masuk ke dalam syurga melainkan mereka yang
merendah diri terhadap kebesaran-Ku dan mengingati-Ku setiap waktu serta melawan
nafsunya daripada ajakan syahwat semata-mata kerana-Ku..” (Petikan Hadith Qudsi, Kitab Imam al-Ghazali: al-Mawa’iz fil Ahadis al-Qudsiah).


Penghuni Raudhatus Sakinah, kalian juga adalah guru-guruku! Terima Kasih.